Monday, February 8, 2010

sekarang aku dah faham

Mak amat selalu buat jemput-jemput untuk sarapan atau minum petang. Kadang kala Mak buat bubur sup untuk makan malam. Bagi yang kurang biasa dengan makanan-makanan begitu tentu dirasakan yang itu makanan orang kurang berkemampuan. Kami adik-beradik tak pernah merungut. Sememangnya dari kecil lagi itu menu yang sering kami jamah bersama. Memang sedap makan jemput-jemput panas-panas. Kadangkala Mak buat jemput udang. Adik lelaki aku cukup suka kumpul udang untuk dimakan kemudian. Bila difikirkan lucu pula. Dulu, Mak pernah bercerita kepadaku (Mak suka bercerita kat aku. Aku memahami katanya). Semasa Abah kerja kerajaan di Ipoh dahulu, hidup kami sekeluarga agak susah. Tak boleh nak kata amat susah kerana tentu sekali ada yang lebih susah dari kami. Sesusah-susah kami dahulu, Abah mampu menggunakan kereta. Hakikat kerja kerajaan pada zaman dahulu tidak serupa sekarang. Sekarang orang berpusu-pusu merebut peluang bekerja dengan kerajaan. Gaji yang ditawarkan sangat kompetitif.


Berbalik kepada cerita Mak, pernah suatu ketika Mak hampir tiada duit langsung untuk membeli barangan dapur. Duit yang ada sedikit tu mak buat beli tepung untuk buat jemput-jemput. Murah dan boleh buat banyak. Mungkin kerana sudah terbiasa dan kami sekeluarga suka, setelah Abah sudah mampu membeli kereta mewah pun masih Mak sering goreng jemput-jemput untuk sarapan atau minum petang. Pada aku yang memahami, Mak hanya mahu berpijak di bumi nyata. Ingin mengingati asal-usul dan kepayahan diharungi bersama-sama Abah. Mak amat faham betapa payah Abah mencari rezeki. Mak cerita, selepas mendirikan rumah tangga dengan Abah, harta yang mereka ada hanyalah sebidang tikar. Rumah yang disewa di Ipoh ketika itu masih kosong. Perlahan-lahan Mak dan Abah membina hidup. Menambah satu persatu alatan rumah.


Aku amat susah untuk memahami hakikat ini. Hakikat betapa anak muda dahulu mampu hidup berdikari. Merantau jauh mencari rezeki. Datuk dan Nenekku kedua-dua belah bukan lah orang susah. Tapi Mak dan Abah tidak pun meminta pertolongan mereka.


Bandingkan mereka dengan aku dan adik beradikku, kami amat bergantung kepada mereka. Aku tak tahu sampai bila. Sememangnya antara tujuan aku untuk belajar di UK adalah untuk merasa hidup sendiri.


Hari ini aku mengerti. disaat aku terpaksa memasak bubur nasi untuk makan malam. Apa ertinya aku di sini, kalau masih mengharap belas kasihan Mak dan Abah ketika susah.


Menu esok: jemput-jemput. Sukanye!

No comments: